Thursday, April 20, 2017

Seikhlas Jantung

#bacaansaya

Letakkan tangan anda di dada. Terasa ada gerakan yang berlaku dengan irama yang sistematik dan berkala? Kemudian cuba tahan nafas. Berapa lama anda boleh bertahan? Satu minit? Lima minit? Boleh lebih daripada itu?

Ah, sukarnya! Mengapa? Ya, kerana tanpa nafas anugerah Allah, berakhirlah kehidupan kita sebagai insan.

Jantung Yang Berjasa

Jantung anugerah Allah yang memungkinkan kehidupan diteruskan. Saban hari jantung patuh dengan tugasan; mengepam darah ke seluruh badan bagi memastikan segala proses hidup berjalan dengan baik.

Dengan bantuan tulang rusuk yang mengembang, menyebabkan isipadu rongga dada bertambah, tekanan dalam badan berkurang, udara yang mengandungi oksigen berupaya memasuki saluran pernafasan hingga ke alveolus (bahagian jantung berbentuk gugusan buah anggur). 

Oksigen yang dibawa masuk seterusnya dialirkan ke seluruh badan bagi memungkinkan proses-proses hidup; respirasi, perkumuhan dan penghadaman berjalan. Besar sekali jasa jantung kepada kita! Bayangkan jika jantung tidak lagi berfungsi, kita akan bergelar jenazah!

Walaupun khidmat jantung begitu bernilai, jantung melakukan tugas tanpa disedari. Melaksanakan tugas tanpa henti secara diam dan tanpa perlu dihargai. Jantung tetap dengan tugas sebagaimana yang diamanahkan Pencipta. Akan terus berdenyut hingga tiba detik denyutan terakhir.

Mencontohi Jantung

Dalam kembara hidup yang sementara ini, kita diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab sesuai dengan tahap pendidikan, pengalaman dan kedudukan sosioekonomi. Namun, di mata Allah semua insan adalah penting. Kalau tidak masakan kita diciptakan. Allah tidak pernah menciptakan sesuatu yang sia-sia.

Seperti jantung, seharusnya segala tugas yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik, tekun, tenang, damai dan istiqamah. Dan paling utama, melaksanakannya dalam diam tanpa minta diketahui oleh semua. Justeru tugas itu amanah. Lantas, laksanakanlah tanpa kerenah!

Laksanakanlah tugasan dengan baik hanya kerana Allah. Tidak mengharapkan ucapan terima kasih atau ganjaran daripada manusia. Jangan bimbang. Ganjaran bagi setiap kebaikan yang kita lakukan tidak pernah sia-sia. Malaikat sentiasa mencatat. Allah sentiasa melihat. 

Bukan itu sahaja, setiap kesedihan, penat lelah dan kekecewaan tercatat dalam buku amalan yang bakal dipertontonkan di akhirat. Justeru apa yang ingin dirisaukan tentang apa yang orang kata, fikir dan lakukan. 

Sebaliknya lakukan tugas kita sebaik mungkin tanpa keluhan, rungutan dan rasa ingin dimuliakan, lantaran kemuliaan itu milik mutlak Allah. Jika kita mulia di sisi Allah, bermakna kita sudah memiliki segala-galanya.

Kawal Niat Dalam Diri

Bagi setiap kejayaan, bersyukurlah kepada Allah. Bagi setiap ujian yang melanda pula, bersabarlah kerana-Nya. Sebagaimana jantung, walaupun kehadirannya tanpa disedari, namun istiqamah dalam tugasan, membantu kelangsungan hidup insan.

Bahkan kita juga tahu akan maksud hadith " setiap amalan itu bergantung kepada niat." (Riwayat Al- Bukhari) Seseorang akan mendapat ganjaran atas apa yang diniatkannya. Justeru antara sebab kebaikan kita ditolak adalah kerana tiada keikhlasan. Kita melakukan bukan kerana Allah tetapi berbekalkan sifat riyak, menunjuk-nunjuk dan mengharapkan pujian serta sanjungan,

Diceritakan bahawa di akhirat nanti tiga orang; ahli Al-Quran, dermawan dan orang yang mati syahid. Kesemuanya dibicarakan di hadapan Allah. Mereka mengaku bahawa segala yang dilakukan adalah kerana Allah. Namun Allah Yang Maha Mengetahui apa yang ghaib dan nyata, menyangkal semua kesemua dakwaan mereka lantaran mereka melaksanakan segalanya kerana mengaharap sanjungan manusia.

Si dermawan, ingin dianggap sebagai orang yang suka menderma. Ahli Al-Quran pula ingin disanjung dan diiktiraf sebagai orang alim dalam Al-Quran. Manakala yang mati syahid pula ingin dikenal sebagai seorang pahlawan yang berani. Akhirnya, kesemua mereka dimasukkan ke neraka lantaran amalan yang tertolak.

Justeru, tidak kira seorang ahli Al-Quran , dermawan atau orang yang mati syahid sekalipun, kalau niatnya bukan kerana Allah, semua amalan akan menjadi sia-sia. Alangkah ruginya!

Diam-Diam Jantung

Lantaran itu, lakukan segalanya dalam diam, seperti jantung. Kalau menderma, biarlah tangan kanan yang memberi, dan tangan kiri langsung tidak menyedari. Itulah wasiat junjungan.

Betapa murninya hati dan sikap yang dimiliki para sahabat. Seharusnya inilah yang perlu kita teladani. Melaksanakan segala kebaikan dalam diam tanpa mengaharap balasan, ganjaran, pujian dan sanjungan.

Itulah antara ibrah yang kita boleh ambil daripada organ dalam diri bernama jantung. Sememangnya jantung amat tinggi nilainya. Bukan sekadar penyambung usia, malah dari segi akhlak, Bekerja dalam diam, tanpa disedari, hanya patuh pada suruhan Ilahi. Kita juga, lakukanlah segala kebaikan dalam diam, hanya mengharapa redha Ilahi. Jangan jadi seperti ayam, bertelur sebiji, riuh sekampung.


ANEKDOT 1
SEIKHLAS UMAR

Walaupun bergelar khalifah, namun beliau melaksanakan tugas-tugas kebajikan pada malam hari tanpa sesiapa menyedari. Disantuninya ibu miskin dengan membawa sendiri gandum untuk keluarga yang memerlukan, khususnya anak kecil yang menangis meminta makanan.



ANEKDOT 2
SEIKHLAS ALI

Orang miskin dan memerlukan dibantunya secara rahsia, tanpa mereka mengetahui hinggalah saat kematiannya. Mereka hanya menyedari beliau yang membantu lantaran segala bantuan tidak diperoleh lagi.


ANEKDOT 3
SEIKHLAS KHALID

Semangat juang beliau dalam peperangan tidak sedikit pun terjejas saat dilucutkan jawatan panglima perang oleh Sayidina Umar Al-Khattab. Belia terus berjuang dengan tangkas dan berani sebagai tentera biasa sejurus menerima berita perlucutan jawatan. Apabila ditanya, beliau menjawab: "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar!"



#sayabacasayakongsi
#inshaAllah
#semogamenjadisedikitiktibar

:)