Sunday, December 3, 2017

Kita Bukan Mangsa

#bacaan saya

Saya membaca kisah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa. Mhu tahu setakat mana keras hatinya. Baik. Bayangkan sahaja tindakannya yang ini- menembak mati polis yang menahannya dalam sekatan jalan raya dan berlalu pergi dengan selamba. Begitulah. Semudah itu dia mencabut nyawa manusia!

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Sepandai-pandai orang jahat, terperangkap jugak akhirnya. Penjenayah kejam itu akhirnya berjaya dikesan dan dikepung. Lalu, saat merasakan tiada harapan lagi mahu melarikan diri, dia membuat keputusan untuk menembak kepalanya sendiri.

Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah luahan rasa yang sempat dituliskannya. Nota ringkas yang menyatakan betapa dunia telah berlaku tidak adil kepadanya, dan dia seorang mangsa! Allahu Rabbi. Sungguh, saya sangat terkesan dengan kisah ini!.

Siapa Yang Bersalah?

Memang aneh apabila seorang manusia yang terang-terangan melakukan kesilapan masih boleh merasakan bahawa dia ialah mangsa keadaan. Aneh apabila orang yang telah melakukan sebegitu banyak kekejaman, masih menganggap dunia ini tidak adil kepadanya saat dia memamng selayaknya menerima hukuman.

Namun begitulah kehidupan. Kita biasa mendengar kisah seorang ibu bertengkar dengan anaknya tentang soal keadilan dan saling menyalahkan. Si ibu kecewa apabila si anak enggan mengikut cakapnya dan menganggapnya derhaka. Si anak pula kecewa apabila si ibu enggan mengikut kemahuannya dan merasakan ibu tidak memahami fitrah seorang remaja. Masing-masing memainkan peranan masing-masing.

Cubalah teliti situasi ini. Mengapa semua orang seperti ini. Mengapa semua orang seperti tidak puas hati dan asyik menyalahkan orang lain? Siapa yang menjadi mangsa dan siapa pula yang bersalah sebenarnya? Siapa?

Janji Tuhan Tentang Ujian

Firman Allah, "Kami jadikan sebahagian daripada kamu sebagai ujian bagi sebahagian yang lain. Mampukah kamu bersabar? Dan sesungguhnya Tuhanmu Maha Melihat."
(Surah Al-Furqan 25:20)

Allahuakbar. Ternyata dalam al-Quran, Allah dengan jelas telah menyatakan perkara ini. Setiap daripada kita memang akan teruji dan hakikatnya kita akan teruji sesama sendiri. Keburukan engkau jadi ujian pada aku. Kelemahan aku jadi ujian pada dia. Nah! begitulah seterusnya!

Kawan, tanya sama hati. Apa perlunya kita memahami perkara ini? Tidak lain dan tidak bukan sebagai satu peringatan tentang hakikat ujian dan ketidaksempurnaan. Manusia - yang berbeza dan tidak sempurna itu, bukan pada akhlaknya sahaja, bahkan corak pemikiran mereka juga. Di situlah keanehannya!

Teruji Dengan Pengkhianatan

Saya sendiri pernah berdepan dengan kerenah seorang sahabat yang mengkhianati kepercayaan saya. Ia satu kes yang cukup besar, lengkap berserta bukti hingga boleh disabitkan dengan tuduhan jenayah.

Anehnya, saat tertangkap dia bahkan melenting, seolah-olah saya pula yang menganiaya dirinya. Ya Tuhan. Geram betul melihat segala lakonan dan dolak-dalihnya meskipun segala bukti sudah jelas di depan mata. Saya bukan sahaja kecewa, bahkan rasa cukup tercabar! Hampir sahaja kami bertengkar.

Namun alhamdullilah, sebaik mengingati hakikat ujian ini, maka kekecewaan saya segera reda. Benar, saya rasa teraniaya. Namun saya tidak hairan jika dia pula yang memaikan watak mangsa. Tidak hairan jika setiap orang merasakan dirinya ialah mangsa keadaan kerana itulah perasaan biasa yang sering hadir ketika berhadapan ujian!

Benarlah firman Allah. Dia memang menjadikan sebahagian manusia sebagai ujian terhadap sebahagian yang lain. Justeru, sebaik manapun kita cuba menjaga hubungan ,tetap akan wujud juga bara-bara permusuhan. Ada-ada sahaja yang tak kena. Tetap sahaja ada orang yang tidak puas hati dengan kita. Persoalannya, bagaimana kita mahu mengendalikan hati saat teruji dengan ujian perhubungan  seperti ini?

Tempoh Bertenang

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai- berai, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan antara hati kamu, maka kamu menjadi bersaudara. Sedangkan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatNya agar kamu mendapat pentunjuk."
(Surah Ali- Imran 3:103)

Baiklah. Mari kita hayati pesanan Allah ini pula. Untuk melepasi ujian yang melibatkan, kita tidak boleh mengikut kata hati. Walaupun berlaku perselisihan, sedaya mungkin elakkanlah permusuhan. Waktu genting seperti ini, tolak ansur dan cuba mengerti adalah satu hal yang sangat diperlukan.

Aduhai. Memang sakit hati apabila orang lain buat salah dengan kita, tetapi masih berlagak seolah-olah dia pula yang teraniaya. Namun di sinilah letak duduknya kematangan kita saat berdepan ragam manusia.

Kita Bukan Mangsa 

Apa yang perlu kita lakukan saat teruji seperti ini? Bertolak ansur. Kadang, mungkin perlu berundur. Jangan melemparkan kata-kata sesuka hati  kerana bimbang ia akan menjadi sesuatu yang akan kita kesali.

Biar apapun yang terjadi, ingat pesan Allah. Jaga ukhuwah. Jangan berpecah belah. Saat seperti ini, bukan kita sahaja sedang teruji. Dia juga sedang teruji. Jika kita rasa sakit, dia juga berasa sakitnya. Namun saat dia pilih untuk marah, kita pilihlah untuk terus tenang berpaut pada tali Allah. Di saat orang lain merasakan diri mereka ialah mangsa, kita pilihlah untuk terus merasai kasih sayang Allah dalam setiap ujian-Nya.

Tidak mengapa kalau pada akhirnya dia tetap memilih untuk memusuhi kita. Yang penting, kita sudah menjaga hati kita sedaya upaya. Kalau kita beriman, kita akan mendapat pertolongan Allah untuk berdepan setiap ujian.

Sedangkan orang yang memilih untuk terus membenci, mereka hanya bergantung kepada kekuatan diri mereka sendiri. Ingat, kita bukan mangsa. Kita hanya sedang diuji sahaja. Maka, tidak perlulah dilayan sangat rasa lemah dan resah yang singgah. Allah bersama kita. Kuatlah!

#kongsiilmu
#reading

Solusi ( Isu: 106)







😊😊😊😊😊😊Thank You