Wednesday, December 16, 2015

Berusaha Untuk Nasib Yang Lebih Baik!

Bismillahirahmanirahim.....

Ramai orang terkeliru antara nasib dengan kejayaan, memang ada kalanya nasib boleh mempengaruhi kejayaan, tetapi yang paling penting ialah usaha dan perancangan.

Orang yang berjaya tidak memfokuskan masa depannya terhadap nasib. Sebaliknya sentiasa merancang dan berusaha untuk mencapai apa yang diingini berdasarkan fitrah alam. Apabila sesuatu berlaku seperti yang dirancang, maka itulah kejayaan yang benar-benar memberi kepuasan; material mahupun secara psikologi. Dalam teori Maslow disebut sebagai 'Self Actualization'. Saya suka menyebutnya Realisasi Diri.

Orang berjaya sentiasa merancang  dan mempunyai kuasa kawal terhadap apa yang dilakukannya. Semakin dia merancang, semakin besar kuasa kawal terhadap apa yang dilakukannya. Semakin dia merancang, semakin besar kuasa kawal, dan semakin sedikit dia bergantung kepada nasib. Sebaliknya mereka yang tidak merancang hanya berharap kepada nasib dan tuah. Akhirnya dia hidup dalam ketidakpastian.

Oleh itu, janganlah terlalu gembira jika anda 'bernasib baik'. Itu ialah isyarat yang menunjukkan kuasa Allah SWT kepada anda. Tetapi, jangan sesekali lalai dan terus mengharap nasib. Nanti anda akan dibuai dengan angan-angan dan ketidakpastian. Rancang hidup anda, dan dapatkan kuasa kawal terhadap hidup sendiri!.

KALAU TIDAK MERANCANG

Ada orang yang mengatakan bahawa dia tidak perlu merancang untuk hidup. Hidup ini perlulah semula jadi. tidak perlu susah-susah merancang itu dan ini.
Makan apa yang dapat, tidur jika mengantuk, makan apabila lapar, ketawa apabila gembira, dan buatlah mengikut apa yang 'hati' anda kata. Anda pernah dengar kata-kata seperti ini?

Ketahuilah, jika anda tiada perancangan untuk diri, ramai orang yang mempunyai perancangan untuk anda. Jika seseorang tidak ada perancangan sendiri, biasanya dia akan 'terpaksa' mengikut perancangan orang lain.

Seorang pelajar yang tiada perancangan belajar, akan mengikut aktiviti rakan-rakan mereka. Diajak lepak-lepak, dia akan ikut juga. Jika rakan-rakannya mengajak untuk ponteng dan merokok pun dia menurut sahaja. Alasannya, bukankah kita mesti mendengar 'suara hati' kita??


Berbeza dengan mereka yang merancang hidup, mereka tahu apa yang patut dilakukan. Mereka melakukan sesuatu dengan strategi yang betul. Pernahkah anda melihat rakan-rakan anda yang kelihatan seperti tidak sibuk, tetapi mendapat kejayaan yang lebih berbanding anda? Mengapa anda yang selama ini 'berusaha dan berkorban' tetapi tidak mendapat yang sepatutnya?

Seseorang itu tidak mendapat yang sepatutnya kerana dia tidak melakukan yang sepatutnya. Dia hanya melakukan , tetapi tidak merancang.

Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, Tony Fernandez, dan ramai lagi 'manusia luar biasa'. Mereka bukan makhluk asing dari Planet Jupiter. Mereka sama seperti yang lain. Mengapa mereka mendapat banyak? Sebab mereka ada perancangan. Perancangan mereka menentukan strategi. Strategi pula menentukan usaha mereka, dan usaha yang berbeza, menghasilkan natijah yang berbeza.

Kita diberikan akal dan kuasa ikhtiar untuk berfikir mengenai masa depan dan membuat pilihan. Setiap pilihan ada kadar yang berbeza, dan anda akan mendapat seperti apa yang anda lakukan. Sekarang, masa untuk berfikir dan membuat pilihan yang lebih baik untuk masa depan yang lebih baik!..

#kongsiilmu
#retype


Nukilan: Ahmad Fadzli Yusof
               (Master Trainer di Global Genius Consultant Sdn. Bhd)
               www.fadzliyusof.com

No comments: