Sunday, September 6, 2015

Kehebatan Doa Ibu Membahagiakan Anak

#kongsibersama

Assalamualaikum...

Permohonan Tulus Ikhlas, Berterusan Pasti Dapat Redha Illahi...

Doa ibu ialah senjata yang sangat ampuh mengiringi kehidupan anak dan keluarga mendapat kedudukan yang baik di sisi Allah SWT. Kelemahan dimiliki anak atau terdapat pada sebuah keluarga bukan penghalang kepada ibu untuk mendoakan yang terbaik daripada Allah SWT.

Lebih utama, ialah doa itu disertakan perasaan bergantung harap hanya kepada Allah SWT untuk merubah banyak perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud : " Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi ini?? Apakah di samping Allah SWT ada tuhannya (yang lain)?? Amat sedikitlah kamu mengingatiNya". (Surah Al-Naml, Ayat 62).

Adakala Allah SWT menguji hambaNya sehingga dia berasakan sangat terdesak dan tersepit, namun keadaan sebeginilah yang mendorong hamba untuk kembali kepada Allah SWTserta mengingatkannya untuk terus berdoa. Hanya Allah SWT tempat untuk kita mengadu dan meminta pertolongan untuk keluar daripada kesempitan yang melanda. Doa seorang ibu yang hebat seharusnya merangkumi ketulusan hati, pergorbanan terhadap keluarga, kesungguhan dan sentiasa berterusan.

Berdoa kebaikan anak, keluarga. Ibu yang istiqamah berdoa kebaikan anak dan keluarga mengambil contoh doa nabi dan rasul untuk zuriat keturunan mereka. Contoh doa Nabi Ibrahim dalam Surah Al- Baqarah, ayat 124 yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Selepas itu) Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin Ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata : (Ya Tuhanku! ) Jadikanlah juga (apalah juga kiranya) dari keturunanku (pemimpin ikutan). Allah berfirman : (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang yang zalim".

Nabi Ibrahim diuji pelbagai ujian oleh Allah SWT, namun Baginda tetap sabar dan menunaikan segala perintah Allah SWT. Maka Allah SWT telah menjanjikan ganjaran sebagai pemimpin bagi manusia dan Nabi Ibrahim tidak melupakan keturanan Baginda, iaitu meminta ganjaran yang sama untuk keturunannya.

Nabi Ibrahim juga memohon doa kepada Allah SWT, " Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur." ( Surah Ibrahim, ayat 37).

Ibu bapa perlu mengambil tahu dimana anak berada, dengan siapakah mereka bersahabat dan semua ini untuk kebaikan menuju keredhaan Allah SWT, seperti Nabi Ibrahim meletakkan zuriat keturunan Baginda di Makkah supaya mereka taat menunaikan solat dan bersyukur kepada Allah SWT.

Nabi Ibrahim menitikberatkan ibadah solat dalam doa Baginda kerana solat paling mudah untuk diabaikan, bukan sahaja dalam kalangan anak, malah ibu bapa juga. Bagi mereka yang lalai, solat sangat berat untuk dilakukan kecuali bagi mereka yang khusyuk.

Apabila kita lalai menunaikan solat, ditakuti lama kelamaan kita akan terus meninggalkan ibadah wajib itu dengan pelbagai alasan demi mewajarkan diri. Lama kelamaan hati yang dahulunya gelisah apabila tidak menunaikan solat tidak lagi berasa bersalah dan berdosa.Jangan tinggalkan doa memohon diri dan zuriat keturunan menjadi golongan yang mendirikan solat.

Seterusnya, Nabi Ibrahim berdoa: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami menyembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatu pun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah SWT! Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan." (Surah Ibrahim, ayat 38-39).

Lupa Bersyukur Dengan Nikmat

Selalunya kita berdoa apabila memerlukan sesuatu dan selepas mendapat yang dihajati, kita berhenti berdoa. Manusia sentiasa lupa untuk bersyukur dengan nikmat dan tidak berkeyakinan bahawa Allah SWT : "Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan," (Surah Ibrahim, ayat 40-41)

Ibu bapa hendaklah sentiasa memperbaiki doa dan jadikan doa Nabi Ibrahim sebagai doa harian. Semoga dengan doa ini Allah SWT akan menjaga diri dan seluruh zuriat keturunan kita seperti mana Allah SWT menjaga Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

Retype dari Slot Agama / Akhbar Berita Harian
* Dari Penulis : Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.

#sharingknowledge
#insyaAllah


No comments: