Monday, September 28, 2015

WAGYU : Lembu Minum Arak

#Ilmu
#Fiqah
#Retype


"Datuk dengar, di Jepun ada lembu yang paling mahal harganya!" ujar Haji Said kepada cucunya yang pernak menuntut di sana.

"Oh lembu Wagyu," jawab Sulaiman.

"Bagimana harganya boleh jadi paling mahal, Man??"

"Kualiti dagingnya. Penjagaannya pun berbeza. Tetapi ada kontoversi. Untuk tujuan menambah baik penghadaman lembu Wagyudan menjamin lembu kenyang pada musim sejuk, makanan lembu ini dicampurkan dengan sake; minuman keras yang diperbuat daripada beras yang sudah diperam."

"Biar betul?? Lembu pun diberi arak?"

"Bukan orang Jepun sahaja, datuk. Penternak lembu Wagyu di sekitar Sungai Margaret di Australia Barat turut melakukan perkara yang sama. Mereka tambahkan wain merah ke dalam makanan lembu."

Terkejut Haji Said mendengar penjelasan "ilmu baharu" daripada cucunya. Dalam hatinya terdetik, bagaimana jika daging lembu yang diberi arak itu dimakan oleh Muslim?

Najis Dalam Makanan

Apa yang berlaku tehadap lembu Wagyu di Jepun dan Australia bukanlah satu-satunya contoh penambahan bahan-bahan kotor dan najis dalam makanan ternakan. Dalam industri ternakan kambing, salah satu makanan yang diberikan kepada haiwan ialah perapan hampas tumbuhan yang dipanggil silaj. Di sesetengah tempat , penternak kambing menggunakan hampas gandum dari kilang-kilang arak untuk dijadikan silaj.

Dalam industri perikanan pula, ada penternak ikan air tawar membaja kolam-kolam ikan dengan tahi ayam untuk mengalakkan pertumbuhan plankton yang menjadi makanan utama anak-anak ikan. Malah kita pernah digemparkan dengan berita penternakan ikan keli di dalam kolam kumbahan ladang babi yang bertujuan untuk membersihkan air kumbahan tersebut. Hasilnya, ikan-ikan hidup dalam persekitaran yang kotor dan makanannya bercampur dengan najis.

Dedak makanan ternakan seperti ayam dan ikan juga mengandungi campuran bahan-bahan yang diragui kesuciannya. Antaranya serbuk daging, tulang dan darah yang bersumberkan bahan-bahan najis seperti darah, bangkai dan binatang haram.

Di Jerman dan Belanda, kajian telah membuktikan bahawa ayam-ayam ternakan diberikan makanan tambahan yang dipanggil hydrolyzed protein. Bahan yang diperbuat daripada unsur babi ini digunakan untuk mempercepat kadar pertumbuhan ayam dalam masa yang singkat. Malangnya kajian membuktikan bahan ini bukan sekadar mempercepatkan tumbesaran ayam, malah telah mengubah keseimbangan sel-sel dalam tubuh ayam. Sel-sel asal tubuh ayam hanya berbaki 40%, selebihnya telah didominasi oleh sel-sel babi!.

Penyelesaian Ilmuwan Kontemporari

Mungkin ramai yang mencadangkan kaedah dan hukum haiwan jallalah digunakan sebagai penyelesaian dalam isu ini. Namun, perubahan keadaan serta perkembangan teknologi yang berlaku sebenarnya menuntut ijtihad baharu dalam kes-kes terkini. Atau sekurang-kurangnya, semakan semula perlu dilakukan terhadap kes-kes terdahulu berdasarkan kajian dan maklumat terkini.
Para ilmuwan kontemporari tidak bersepakat dalam mengeluarkan fatwa terhadap isu ini. Namun begitu, penulis berpendapat bahawa perbezaan fatwa-fatwa mereka dalam isu ini merupakan satu rahmat. Setiap pendapat memiliki kelebihan tersendiri untuk dipraktikkan dalam keadaan yang berbeza.

* Pendapat 1 : Harus Dimakan

Menurut para ilmuwan yang memilih fatwa ini, campuran najis yang terdapat di dalam makanan haiwan tidak memberi kesan kepada haiwan yang memakannya. Hal ini disebabkan oleh jumlahnya yang sedikit. Selain itu, campuran makanan haiwan tersebut telah melalui dua proses iaitu proses tranformasi ( istihalah ) dan pemusnahan ( istihlak )

Dalam proses tranformasi, campuran makanan telah berubah kepada bahan lain yang tidak lagi dikategorikan sebagai najis. Dalam proses pemusnahan pula, sifat-sifat najis yang terdapat pada campuran makanan haiwan telah lenyap. Kuantiti najis yang sedikit dalam campuran makanan juga telah membolehkannya dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Fatwa ini telah menjadi pilihan dalam  beberapa persidangan, antaranya Muktamar Fiqah Perubatan, Kuwait, 1995 dan Himpunan Fiqah Sedunia, Dar al- Baidha', 1997. Antara ilmuwan yang memilih fatwa ini ialah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Muhammad Abdullah al-Khatib dan Syeikh Jad al-Haqq Ali Jad al-Haq.

Fatwa ini sesuai dipraktikkan jika kuantiti najis dalam campuran makanan adalah sedikit, tidak memudaratkan dan tidak memberikan kesan perubahan terhadap haiwan.

*Pendapat 2: Makruh Dimakan

Sekiranya campuran makanan mengubah sifat asal haiwan. Walau bagaimanapun, haiwan tersebut harus dimakan selepas dikuarantin. Fatwa ini berasaskan qiyas terhadap haiwan jallalah.

Pandangan ini dipersetujui beberapa ilmuwan seperti Syeikh Prof. Muhammad Abu Zuhrah dan Mustafa al-Adawi. Fatwa ini sesuai dipraktikkan jika haiwan yang memakan makanan tersebut memenuhi syarat-syarat haiwan jallalah.


*Pendapat 3: Haram Dimakan Sebelum Dikuarantin

Sekiranya makanan mengubah sifat asal haiwan. Hal ini berdasarkan qiyas terhadap jallalah, dengan memilih pandangan mazhab Hambali dan Zahiri. Fatwa ini merupakan fatwa Syeikh bin Baz dan Syeikh Soleh bin Fauzan.

*Pendapat 4 : Haram Dimakan Jika Bercampur Dengan Najis Berkait Dengan Babi

Terdapt kajian yang membuktikan perbezaan babi jika dibandingkan dengan haiwan lain. Sel-sel babi dikatakan dominan, tidak berubah, malah dalam sesetengah keadaan mendominasi sel-sel haiwan lain. Demikian pandangan Syeikh Dr. Abdul Nasir Abu al-Basal; ulama Jordan. Fatwa ini praktikal dalam kes ayam yang diberikan hydrolysed protein dan kes-kes seumpamanya. 

*Pendapat 5: Haram Secara Mutlak

Melibatkan kes-kes berkaitan penternakan ikan air tawar, terutamanya keli dan patin, yang dilaporkan melibatkan pemberian makanan bersumberkan najis serta penternakan dalam tempat bernajis.

Menurut mereka yang mengeluarkan fatwa ini, daging haiwan yang memakan makanan tersebut telah bercambah daripada sumber yang haram. Dalam kes makanan yang melibatkan sumber babi, babi merupakan najis berat. Tambahan lagi, tidak ada cara yang boleh memisahkan najis tersebut daripada haiwan. Fatwa ini turut diwartakan berasaskan kaedah Sad al-Zari'ah, sebagai langkah berjaga-jaga daripada terjerumus ke lembah yang haram.

Ini merupakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangan sesi 4-6 April 2006, dan majlis Fatwa Negeri Kelantan. Juga merupakan fatwa pilihan beberapa tokoh ilmuwan tempatan seperti Tan Sri Dato' (Dr) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria; Mufti Perak dan Dato' Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abd Wahid; Mufti Selangor.

Fatwa ini dianggap pratikal dalam kes-kes yang mendatangkan mudarat dan kesan buruk kepada pengguna.


*Dari : Majalah Solusi (Issue 82) m/s 88 & 89
*Penulis : Ahmad Shamil Shahrin, lulusan Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh UIAM.
                 & Pendakwah bebas di bawah Program Bridged Ceramah, MUIP.
#www.facebook.com/kembara.daie









No comments: